Rantaian Rasa


Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya:"Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."
(al-Insyirah:6)


Astaqfirullahalazim~
Ampunilah aku Ya Allah kerana aku sering mengeluh..sering merintih..mengenang nasib diri. Tiap hari aku memikirkan tentang kerja yang selalu tidak berpihak padaku. Sejak aku tamat belajar dan graduate, ruang kerja untuk aku mencari rezeki selalu saja kelam. Sedangkan teman-temanku yang lain semuanya sudah mempunyai kerjaya, tapi aku masih di takuk lama. Walaupun aku salah seorang pelajar cemerlang semasa di IPTA berbanding teman lain, namun akulah yang paling susah membina kerjaya. Harapan ibu dan nenek yang menggunung mengharapkan aku dapat membela nasib keluarga tak mampu aku junjung. Kini sudah lama aku berada di perantauan berusaha mencari kerja namun hingga kini masih tidak kelihatan sinarnya.  Hanya bekerja untuk menampung diri sendiri namun sinar kerjaya belum kelihatan. Terkadang tidak sanggup aku pulang ke kampung untuk berjumpa ibu dan nenek selagi aku masih tidak menggapai kejayaan. Impian aku untuk membawa ibu dan nenek ke Mekah seolah-olah langsung tidak nampak cahayanya. Gugur embun mutiara dari kelopak mataku di saat membayangkan wajah ibu dan nenek yang penuh dengan harapan namun hingga saat ini harapan itu tak mampu aku tunaikan. Wajah nenek yang menjagaku dari kecil hinnga besar di saat ibu pergi bekerja mencari nafkah untuk kami sekeluarga tak pernah hilang dari ingatanku. Neneklah tempat aku menumpang kasih sedari kecil lagi. Ibu seorang ibu tunggal yang sangat kental membuatkan aku belajar untuk menjadi lebih tabah. Nasib aku dan ibu sama. Dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ayah. Ibu kematian ayah setelah beberapa hari dilahirkan, kata nenek. Aku dilahirkan tanpa ayah setelah ibu ditinggalkan suami sejak mengandungkan aku. Aku sangat mengerti jerit perih sebagai seorang ibu tunggal. Semuanya berlegar-legar di depan mata di dalam aku meniti kedewasaan. Ibu seorang yang sangat memendam rasa. Aku tahu disebalik ketabahan yang ibu pamerkan di hadapan aku terselit seribu satu keperitan yang tak pernah walau sekali untuk diceritakan kepada anaknya ini. Aku dan ibu sama-sama pendiam dan kami jarang berkomunikasi kerana aku lebih rapat dengan nenek. Ibu seorang yang sangat garang tika zaman aku kanak-kanak. Walaupun ibu tak pernah melafazkan kata sayang kepadaku, tapi aku tahu ibu amat menyayangiku melalui setiap tindak-tanduknya. Aku juga seperti ibu, tidak pernah pamerkan rasa kasih aku pada ibu. “Ibu..wan nak ibu tahu yang wan sangat sayangkan ibu walaupun sangat jarang telefon ibu atau jenguk ibu di kampung. Ibu menjadi kebanggaan wan selama ini.” Aku sendiri tidak mengerti kenapa begitu susah untuk aku menelefon ibu dan bertanya khabar meskipun sekali dalam sebulan. Ya Allah..aku mohon padaMu, panjangkanlah umur ibu dan nenek, mudah-mudahan aku sempat membalas jasa mereka,aminnn~